Hari ni saya nak kongsi sikit kisah menarik tentang ilmuwan China. Bagi saya kisah ini boleh dijadikan sebagai motivasi untuk pelajar-pelajar dan anak-anak tentang betapa pentingnya ilmu pengetahuan.
Meng Zi/Mencius
Meng Zi atau Mencius ialah salah seorang lagenda falsafah di China. Dia
dianggap sebagai orang paling pintar dan cerdik dari negeri China.
Bahkan ada yang mengenalinya dengan nama Kong Zhi atau Kong Hu Cu.
Sebahagian orang China memanggil secara bersama dengan sebutan
Kong-Meng.
Yang menariknya setiap kali Meng Zi ditanya. " Siapakah orang yang berpengaruh yang membuat kamu pintar dan
sebijak ini?" Maka dengan tegas dan tanpa keraguan sedikit pun Meng Zi
akan menjawab, "
Ibuku, Ibuku, Ibukulah yang membuat aku pintar".
Ketika Meng Zi masih kanak-kanak, dia termasuk jenis budak yang sering
kebosanan apabila berada di kelas, sering ponteng dan melarikan diri
dari sekolah. Suatu hari dia merasa tidak suka mengikuti pelajaran di
kelasnya. Ditambah lagi dia merasa lapar. Dia kemudiannya mencari jalan
bagaimana cara untuk meninggalkan kelasnya.
Dia menemui kesempatan
yang tepat, dia pun lari dari sekolah dan pulang ke rumahnya. Dia
gembira kerana berjaya ponteng dan tidak mengikuti pelajaran di
kelasnya. Sampai sahaja di rumah dia terus mencari makanan dan duduk di
atas longgokan kain sutera.
Meng Zi mempunyai seorang ibu yang
pekerjaannya menenun dan menjahit kain sutera. Dari kain sutera itulah
ibunya yang sudah kematian suami menanggung keluarga. Si ibu terkejut
mendapati Meng Zi telah pulang lebih awal dari waktu sebenar. Dia tahu
yang Meng Zi ponteng dari sekolah.
Ibunya sangat marah, " Ini belum waktu balik sekolah, kenapa kamu balik? Ibu tidak suka kamu ponteng sekolah Meng Zi".
Meng Zi menjawab, "Sekolah itu membosankan dan susahlah ibu. Saya tidak
boleh mengikuti pelajaran dan saya bukanlah budak pandai yang boleh
mengikuti pelajaran dengan cepat".
Ibunya mendengar alasan Meng Zi
perkataan demi perkataan dengan teliti. Namun dia tetap menunjukkan raut
muka marah dan tidak setuju dengan olah Meng Zi yang ponteng sekolah.
Melihat ibunya yang masih marah, Meng Zi tidak berani membuka mulut
lagi. Dia diam, menundukkan kepala dan merasa bersalah.
Ibunya pun
diam dan tidak membalas jawapan anaknya. Dia lalu beranjak mengambil
kain sutera yang Meng Zi duduk. Lalu ibunya memotong kain sutera itu
menjadi dua bahagian dengan muka yang masih marah. Selepas itu memotong
menjadi empat bahagian. Seterusnya lapan bahagian, enam belas dan terus
memotong sehingga kain itu tidak boleh dipotong lagi.
Ibunya
kemudian mengambil kain yang lain dan memotong-motongnya sama seperti
sebelumnya, tetap dengan diam dan muka yang marah. Setiap kali
menyaksikan ibunya memotong-motong kain sutera itu hati Meng Zi bagai
terhiris.
Meng Zi tahu ibunya telah kematian suami. Dengan menenun
dan menjahit kain sutera itulah ibunya mampu menanggung keluaganya. Meng
Zi tiba-tiba diselubungi rasa takut luar biasa, dia takut melihat
ibunya yang sangat marah sehingga kain yang menjadi sumber kehidupan
keluarganya dirosakkan.
Dengan menangis, Meng Zi memeluk kaki ibunya
dan berkata, "Ibu, jangan marah lagi. Saya sedar, saya telah melakukan
satu kesalahan dan sangat mengecewakan ibu. Mohon ibu tidak merosakkan
kain yang sangat berguna bagi keluarga kita. Saya janji tidak akan
ponteng lagi walaupun sekolah itu membosankan".
Ibunya yang
mendengar kata-kata anaknya itu kalimah demi kalimah sambil merenung
wajah anaknya dengan wajah yang serius. Ibunya kemudian berkata kepada
Meng Zi sambil menatap mata anaknya dalam-dalam.
"Meng Zi, kamu
lihat potongan-potongan kain sutera ini. Benang sutera itu ditenun
sedikit demi sedikit barulah menjadi sepotong kain sutera. Sudah dapat
sepotong terus ditenun sedikit demi sedikit sampai boleh menjadi kain
sutera yang elok dan lebat. Setelah itu kain sutera dipotong lagi sesuai
dengan ukuran dan dijahit maka jadilah pakaian yang cantik. Belajar pun
seperti itu Meng Zi, hasilnya tidak boleh segera dilihat sekelip mata.
Belajar itu sedikit demi sedikit dan berterusan. Walaupun susah, itu
tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak belajar. Setelah faham sedikit,
belajar lagi supaya faham lebih banyak lagi. Kemudian belajar lagi.
Setelah bertambah kefahaman, belajar lagi dan seterusnya. Apabila sampai
waktunya nanti kamu akan merasakan bahawa belajar ini menarik,
menyenangkan, mengasyikkan dan indah serta sangat berguna.
Kalau
sekarang kamu ponteng, kamu tidak akan faham apa yang diajarkan
kepadamu. Kalau sedikit pun kamu tidak faham, lalu dari mana kamu akan
tahu bahawa belajar itu menyenangkan dan berguna?"
Kata-kata ibunya
menerjah dalam sanubari Meng Zi. Setelah ibunya selesai berbicara dengan
berlinang air mata Meng Zi berjanji, " Ibu, sungguh saya memang teramat
salah dan sekarang saya amat menyesal. Mulai dari sekarang saya
berjanji saya tidak akan ponteng sekolah lagi. Mulai sekarang saya
berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan melawan rasa bosan. Saya
percaya pada ibu bahawa belajar bersungguh-sungguh suatu hari nanti saya
akan menjadi pandai dan berguna kepada bangsa dan negara."
Sejak
itu Meng Zi berubah. Meng Zi menjadi anak yang bersungguh-sungguh dalam
menuntut ilmu. Dia membesar menjadi manusia yang luar biasa mencintai
ilmu pengetahuan. Meng Zi menjadi orang berguna kepada masyarakat dan
bangsanya. Namanya masyhur di seluruh pelusuk China. Karyanya yang telah
berusia lebih dari dua ribu tahun masih dipelajari sehingga hari ini.
Meng Zi menguatkan catatan sejarah, bahawa di belakang orang yang
terkenal dan berjaya kebiasaannya ada seorang ibu yang luar biasa
mendidik dengan penuh kecintaan dan sepenuh jiwa. Setiap kali Meng Zi
ditanya, "Siapakah yang mendorong anda sehingga menjadi sepintar dan
sebijak ini?" Maka dengan tegas dan tanpa keraguan Meng Zi akan
menjawab, "Ibuku, Ibuku, Ibukulah yang membuat aku pintar."