Thursday, December 19, 2013

Sajak Daripada Rakyat Marhein



Umpama timun hendaknya
Melanggar kami terluka
Dilanggar kami cedera
Tapi itulah nasib kami yang hina

Tanpa elaun seperti menteri
Makan bayar sendiri
Kereta pandu sendiri
Minyak isi sendiri
Jalan sesak kami hadap setiap hari

Mudah pula tuan berkata
Jangan makan bila ayam naik harga
Jangan minum manis bila naik harga gula
Jangan guna jalan jika tol naik berganda
Pindah ke negara lain jika tak suka Malaysia

Kami umpama kain basahan
Tuan perah habis habisan
Akhirnya kami kekeringan
Merana kami tuan kesenangan

Duit sejemput kami diperas hingga rabak
Gaji tuan sedikit pun tak boleh ditolak
Diusul kami tuan amuk sampai koyak
Kami senyum lihat tuan makin menggalak

Tak mengapalah tuan
Kami terima segala ketentuan
Cuma ingat pesan Tuhan
Setiap perkara ada balasan
Nasib tuan belum ketahuan

Tuan jangan lupa
Kami manusia biasa
Sabar kami ada tahapnya
Luka kecil boleh menjadi nanah juga
Jangan sampai menjadi barah pula
Cukuplah tuan menyeksa
Cukuplah tuan buat kami merana

Kuasa tuan dari kami
Naiknya tuan dari kami
Jatuhnya tuan juga dari kami..
 
::https://www.facebook.com/wan.azreen.1981::

Sunday, December 8, 2013

Pentas Dunia

sesungguhnya kita berada dipentas dunia dan kita para pelakonnya
skrip dan arahan dari yang esa
sungguh dipentas ini tiada penjahat diperlukan
apa yang perlu cuma berbuat baik
ikut arahan dari pengarah
tidak perlu mengeluh dengan watak diberikan
kerana setiap watak itu telah tertulis di dalam skrip
namun setiap yang ditentukan boleh diubah
mengikut kesesuaian dan keadaan
berserta doa dan usaha
asalkan tidak lari dari panduan dan arahanNya
sampai satu masa kita perlu meninggalkan pentas
apakah cukup dengan jasa kita taburi
jangan sampai menyesal nanti
di akhirat nanti kita diadili

Tuesday, December 3, 2013

Puisi buat sahabat

gumpalan awan bagai bercerita
mendung umpama gundah di hati
pahit getir hadapi bersama
namun hadir sang pelangi penceria suasana
tanda gembira tatkala murung bertandang
langit biarkan ia bicara
lantunkan irama gemersik suara alam
tanda kita masih bersahabat

Wednesday, November 20, 2013

Syair Imam Syafie: Merantau demi Ilmu dan Kemuliaan

tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab tu dianggap sebagai rehat
tinggallah tanah air dan mengembaralah,
 

berkelanalah, engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan
berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan


Sungguh aku melihat, air yang tergenang dalam diamnya, jesteru akan tercemar lalu membusuk. Jika saja air tersebut mengalir, tentu ia akan terasa lazat menyegarkan. Tidak demikian, jika ia tidak bergerak mengalir.
 

Sekawanan singa, andai tidak meninggalkan sarangnya, nescaya kebuasannya tidak terasah, ia pun akan mati kerana lapar.
 

Anak panah, andai tidak melesit laju meninggalkan busurnya, jangan pernah bermimpi akan mengenai sasaran.
 

Sang suria, andai terpaku sahaja di ufuk, nescaya ia akan dicela oleh segenap bangsa manusia.
 

Dan bijih emas yang masih terkubur di batuan, hanyalah sebongkah batu tidak berharga, yang terbengkalai di tempat asalnya.
Dan andaikata bijih itu keluar dari tempatnya, ia akan menjadi emas yang berharga.
 

Demikian jua dengan gaharu di hutan belantara, hanya sebatang kayu, sama seperti kayu biasa lainnya. Andai saja gaharu tersebut keluar dari hutan belantara, ia tinggi nilainya.

Sunday, November 17, 2013

Hidayah

hidayah,
hadir mu dengan bersebab
buat manusia yg mencari asbab
untuk diri yg kian sembab
pasti Allah mempunyai sebab

hidayah,
kedatangan mu tidak dijangka
hanya Allah yg punya kuasa
mampu merubah hati hambaNya
Untuk manusia yg mahu berusaha

Saturday, November 16, 2013

semalam, hari ini, esok

hujan yg turun membasahi alam
membuat kita muhasabah semalam
semalam yg kita tempuh biarkan bermalam
dilubuk hati kita yg paling dalam

hiasi hari ini dengan senyuman
senyuman jangan disalah ertikan
agar kita mendapat pedoman
pedoman membawa kepada kebenaran
esok akan menjelma pasti
untuk kita rencana diri
agar tidak tersilap nanti
setiap insan pastikan mati

 

Friday, November 15, 2013

Diari Semalam

Semalam tidak bisa berulang lagi
semalam juga yang menerbitkan kita hari ini
semalam yang membentuk jati diri
semalam ialah ruang untuk mengenali diri
semalam kita selongkar apa fungsi diri,
semalam banyak mengajar hidup kendiri

helaian demi helaian
ku singkap, ku tatap dan ku baca
helaian tiada warna, kusam dan muram.. aku sedih
jadikan ianya pengajaran berguna buat ku
helaian penuh warna-warni dan ceria.. aku gembira dan tertawa
ingin aku ulangi saat indah namun apakan daya

namun tiada semalam tiadalah kita hari ini


Saturday, November 9, 2013

Khas buat sahabat

Amat sukar dicari apa itu sahabat
Inikan pula sahabat sejati
Tetapi sepanjang perjalanan kehidupan ini
Aku mula mengerti siapa sahabat
Sahabat yang sentiasa membimbing aku ke jalanNya
Aku gembira, rasa hiba tiada dirasa

Jika ada sahabat bersamaku
Sejak dulu dibangku sekolah lagi
Aku bersama-sama kalian
menuntut ilmu tiada penghabisan
Di situ aku mengenali yang mana kawan dan yang mana lawan
Bukan aku memilih tapi aku cuba melakar corak kehidupan
agar aku dapat menjaga akhlak serta disiplin diri tatkala jauh dimata ibu dan ayah
Dan aku yakin kerna sahabat yang baik dapat membimbing aku ke jalan Ilahi

Dan kian dewasanya aku
Aku bertemu dengan lebih ramai Sahabat
Hidupku penuh warna
Bagai pelangi yang cantik coraknya
Menghiasi awan biru kehidupanku
Aku hargai setiap mereka yang hadir mewarnai dan menghiasi keindahanku
Terima kasih kepada mereka semua kerana tidak jemu bersamaku
Dari dulu, kini dan hingga keakhirnya

Aku kian merindui sahabat yang jauh dariku
Teringat kenangan bersama yang telah kita coretkan
Yang kini hanya bisa dikenang
Aku harap kalian juga masih terkenang masa lalu kita bersama
suka dan duka, yang tidak mungkin pernah padam dari ingatan
Biar ia bersemi untuk selamanya

Saturday, October 5, 2013

Saat yang hilang

dari kejauhan
aku melihat kanak-kanak begitu riang
mereka berlari, bermain
tanpa menghiraukan orang lain
oh! aku begitu merindui saat-saat manis
sewaktu zaman kanak-kanak
bebas dari segala masalah yang menyesakkan jiwa

namun semakin aku kenangkan saat itu
semakin aku muhasabah diri
yang lepas biarkan berlalu
apa yang perlu difikirkan ialah masa depan
apakah ada tawa atau tangis dipenghujung nanti

Wednesday, October 2, 2013

Diri Aku

Berlari ke hutan
Aku tenang, setenang air di kali

Berlari ke pantai
Aku damai, ingin saja aku berteriakan
dalam kesunyian dan sendirian

Aku bosan,
Lalu aku berlari ke kota
Dengar hingar bingar dan jerih perih kota

Ah,
Aku tidak puas dengan apa yg ada
Kadang kala aku terfikir
Mahu apa aku dengan hidup ini

Ya Allah,
Jadikanlah aku dikalangan hambaMu yang bersyukur

Tuesday, October 1, 2013

Hikmah disebalik Musibah


Dalam dunia ini tiada manusia yang menginginkan untuk hidup susah. Semua ingin kehidupan yang senang. Tapi tidak semua kehidupan didunia ini mudah tetapi kadangkala Allah uji dengan kesusahan. Bak kata Kasim Baba dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk: " Orang kaya pun kadang-kadang sesak da." Disini Allah ingin beritahu bahawa yang hidup ini ada pasangannya. Ada bawah dan ada atas, ada kiri dan ada kanan, ada senang dan ada susah.  Jika ini yg berlaku pd diri kita pasti ada hikmah disebaliknya kerana Allah suruh kita berfikir secara positif.

hikmah sebalik ujian

1. Menguji keyakinan dan keimanan kita. Orang akan mantap iman jika diuji. Contohnya, jika kita buat silap lalu kita belajar tentang kesilapan tersebut untuk tidak berlaku kali keduanya, Ini akan memantapkan lagi diri kita dengan tidak melakukan kesilapan tersebut lagi.

2. Hapuskan dosa dan kesalahan. Setiap orang ada kenangan masa lalu (nostalgia). Contohnya, jika kita pernah dengki pada orang dan perbuatan dengki itu berlaku pada kita pula. Ini sebagai teguran Allah atas kesalahan masa lalu. Allah ingin kita menganggap bahawa ujian itu sebagai kifarah masa lalu.

3. Menambahkan pahala amalan hidup. Contoh Kita mempunyai badan yang sihat, tenang, senang untuk datang berjemaah di surau. Amalan berjemaah tersebut dikira 27 darjat. Tetapi Allah uji kita dengan sakit dan ketika sakit itu pun kita datang ke surau untuk berjemaah. Amalan tersebut Allah beri ganjaran tambahan sebagai bonus sehingga 10 kali ke 70 kali ganda.

4. Utk menyedarkan manusia di atas kesalahan yg dilakukan. Kita sebagai manusia hendaklah berbaik sangka kepada Allah. Manusia ini jika telah terhantuk baru nak terngadah. Contoh perokok yang tegar telah membuang puntung rokok merata-rata. Lalu anak yang masih kecil mengambil dan menghisap puntung rokok yang masih menyala tersebut. Perokok tersebut ternampak anaknya yang masih kecil itu menghisap rokok tersebut dan membuang rokok dari terus dihisap oleh anak itu. Dia pun berhenti dari menghisap rokok kerana dia berfikir secara positif bahawa ini cara Allah menegurnya.

5. Utk mengangkat darjat manusia dlm hidup. Contoh, untuk masuk ke semester dua semasa belajar di Universiti kita perlu lulus peperiksaan akhir. Selepas lulus barulah kita boleh belajar matapelajaran semester dua. Begitulah hidup kita ini, mungkin di sisi Allah kita ini berada di tahap semester satu Universiti dan diberi ujian sesuai dengan tahap kemampuan kita. Mungkin juga kita ini berada di tahap darjah enam lalu diuji dengan peperiksaan UPSR. Begitulah Allah menguji hamba-hambanya iaitu sesuai dengan tahap kemampuan hamba-hambanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan dengan berkata; " Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diberi cubaan? Dan sesungguhnya Kami telah mencuba orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta" (Al-Ankabut: 2-3)

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Nescaya kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan" (Al-Anbiya':35)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Luar biasa betul keadaan orang-orang yang beriman, semua urusannya adalah kebaikan. Tidak ada manusia yang menyamai orang yang beriman. Apabila ia beroleh kesenangan ia lalu bersyukur, maka ia mendapat balasan pahala. Apabila ia ditimpa musibah lalu ia bersabar, maka ia diberikan pahala." (HR. Muslim)

Kadangkala musibah yang menimpa seseorang itu adalah amaran jika ia melakukan dosa, supaya ia tidak berterusan dalam kemaksiatannya, sedar dan insaf seterusnya  kembali kepada ajaran Islam, yakni patuh kepada Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada umat-umat sebelum kamu, kemudian Kami timpakan ke atas mereka penderitaan dan kemelaratan supaya mereka merendah diri." (Al-An'am: 42)

Musibah dan Ujian

Musibah,
Semua orang dilanda musibah
Membuatkan diri bagai dikerah
Memberi peluang untuk berubah
Supaya tidak tersalah arah

Diuji,
Semua orang akan diuji
Malah ada yang dimaki
Tidak kurang juga dikeji
Semuanya untuk muhasabah diri

Yakinlah,
Ujian menimbulkan ketekunan
Ketekunan menimbulkan ketahanan
Ketahanan menimbulkan pengharapan
Pengharapan tidak mengecewakan.

Monday, September 30, 2013

Malu aku jadi orang Malaysia

Malu aku jadi orang Malaysia
Tatkala aku pertikai ketelusan pilihanraya
Aku kau usir, disuruh keluar dari negara

Malu aku jadi orang Malaysia
Tatkala aku mengadu harga ayam tinggi dan beban
Kau kata makan saja ikan bilis, ikan kering dan ikan pekasam
Jika tidak berkemampuan berlaukkan ayam

Malu aku jadi orang Malaysia
Di saat aku tidak punya tempat tinggal
Harga rumah dan tanah melambung mahal
Akibat permainan spekulator yg nakal
Kau bilang tidurlah di atas lengan sebagai bantal
Nyata kau memang bebal kerana terlalu lama menghirup sup capal
Tidak merasai derita rakyat yg tidak punya tanah walau sekepal
Kerana kau terlalu asyik membeli kapal

Malu aku jdi orang Malaysia
Tatkala harga minyak naik
Kau bilang jangan merengek rengek Jika mahal,
basikal dan baslah kau naik
Begitulah kau mengejek
Aku fikir kau memang layak dilenyek
Tunggu PRU akan datang tahulah aku mengajar kau balik

Malu aku jadi orang Malaysia
Tatkala pelan pendidikan kau caca merba
Bahasa ibunda entah ke mana
Anak bangsa perit meraba raba
Kabur dalam membina watak dan akhlaq agama
Kau bilang jika tidak suka
belajarlah ke luar negara
Sedang PTPTN kau jerut
kami sampai tak bermaya

Kau fikir kau siapa
Menghalau orang sesedap rasa
Negara ini bukan bapak kau yg punya
Ia milik anak watan tercinta

Malu aku jadi orang Malaysia

https://www.facebook.com/fadhlinasidek.sidek

Sinar yang Sirna

Saudara
Kita semua serupa
Penumpang di atas dunia
Mencari sinar keredhaanNya
Buat bekalan akhirat sana

Saudara
Bangkitlah dari lena
Umat islam lama dihina
Bantulah mereka seadanya
Dari kejauhan kita bersama

Saudara
Yakinlah Allah tetap bersama
Yang penting terus berusaha
Disamping amal dan berdoa
Kejayaan pasti tiba

Sunday, September 29, 2013

Kasih Abadi

sungguh indah bunga melati
indah berhias di taman sari
mari meraih cinta ilahi
kasih Allah kekal abadi


Malam indah sungguh mendamaikan,
bintang berkelipan dilangit biru,
lena diulit mimpi nan syahdu
Kasih sayang Mu oh Tuhan,
Membuatkan hatiku merindu,
indah terasa di dalam rahmatMu

Alam Maya

alam maya
mereka bisa menjadi apa sahaja
menjadi peguam, doktor, politikus
semakin ramai berasa bagus
dengan pelbagai status
realitinya mereka berbeza

di sini,
sengaja mahupun tidak
memang aku sudah terjebak
menjadi seperti mereka
berkongsi, menulis, membaca
ada yg suka, tidak kurang juga yg mengata

ah, pedulikan kata-kata mereka
aku menulis bukan kerana nama
kata-kataku ilham dari yg Esa
buat kebaikan untuk semua

Thursday, February 7, 2013

Maksud vs Keperluan

Mafhum firman Allah;
"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku."
Surah az-Zariyat: ayat 56.

Mafhum firman Allah;
"Manusia bertanya kepada mu berapa banyak harta hendak dibelanjakan? Katakanlah apa yang lebih dari keperluan."
Surah Al Baqarah 219


Maksud vs Keperluan.

Contoh 1;
Pemain striker bola sepak.

Maksud : Skor la sebanyak gol yang boleh.
Keperluan : Pandai gelecek, strategi yang baik, lari laju gila dan sebagainya.

Tapi kalau striker tu asyik gelecek sana-sini, pasing cantik-cantik, lari pecut macam lumba 100 meter sampai lupa nak skor gol. Boleh pakai ke?

Contoh 2;
Student/pelajar

Maksud : Lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.
Keperluan : Alatulis, asrama yang selesa, motorsikal nak ke kelas dan seumpamanya.

Salah guna alatulis untuk conteng jamban, tidur je dalam bilik asrama tanpa study, motorsikal bawak pergi merayau dan bawak awek...


Kita dijadikan Allah pun ada maksud yang perlu dipenuhi.

Maksud :

Manusia secara umum dijadikan untuk mentauhidkan dan beribadat kepada Allah.
Nabi-nabi dan rasul-rasul dihantar untuk mengajak manusia mentauhidkan dan beribadat kepada Allah disamping mereka sendiri mentauhidkan dan beribadat kepada Allah.
Umat Nabi Muhammad SAW dihantar sama seperti maksud para Nabi dihantar.

Keperluan :

    Makan & minum
    Pakaian
    Tempat tinggal
    Kenderaan
    Isteri/keluarga

Cuba fikir dan renung adakah kita (jangan check orang lain!), telah jadikan yang maksud itu maksud dan yang keperluan itu keperluan ATAU kita telah jadikan yang keperluan itu maksud dan yang maksud itu keperluan.

Contoh 1;
Bersederhana dalam keperluan dan menggunakan apa yang lebih dari keperluan untuk menyempurnakan maksud.

Contoh 2;
Menjadikan keperluan sebagai maksud. Iaitu seluruh masa, tenaga, harta, kemudaan, fikiran digunakan untuk mendapatkan keperluan.

    Makan minum sehingga letih dan tak kenyang-kenyang serta mambazir.
    Mengumpul pakain dalam almari sehingga kalau dikira harga mencecah ribu ringgit.
    Buat renovation puluh ribu ringgit untuk mencantikkan rumah. Tukar perabot...
    Kereta lama masih elok, beli kereta baru dan buat hutang baru. Tukar sport rim..
    Kenduri kawin yang melampau-lampau dengan pelamin, tukar-tukar baju untuk fotografi, panggil band, joget lambak...

...atau kita tak tahu dan tak mahu ambik tahu, apa maksud dan apa keperluan kita sebagai manusia, umat Nabi Muhammad SAW dan hamba Allah di muka bumi ini.

Ketahuilah di muka bumi sekarang ni ada 6 billion manusia dan dari jumlah itu hanya 1 billion sahaja orang Islam. Dari jumlah orang Islam masih ramai yang tak amal agama terutama meninggalkan solat (Imam Al-Ghazali mengatakan perkara yg ringan di dunia ini ialah meninggalkan solat). Masjid-masjid masih kosong. Agama hanya berkhatan, akad nikah dan solat jenazah. Dan kita masih sibuk dengan keperluan yang kita sangka maksud

credit to http://bundledinar.blogspot.com/search/label/-Tazkirah-

Khutbah Jumaat


Wahai orang-orang beriman! Apabila tiba seru azan berkumandang untuk menunaikan solat pada hari jumaat, maka segeralah kamu pergi (masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkan jual beli (pada saat itu), yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya. (al-jumaah:9)


Khutbah Jumaat
Pengertian: Khutbah jumaat adalah ucapan atau syarahan yang disampai oleh khatib sebelum solat jumaat yang mengandungi nasihat, peringatan, pengajaran kepada para Jemaah.
Khutbah jumaat adalah salah satu syarat sah solat jumaat, maka tanpanya solat jumaat tidak sah.
Kesimpulannya, mendengar khutbah jumaat itu adalah wajib

Rukun Khutbah Jumaat
  • Memuji Allah 
  •  Membaca selawat ke atas Nabi SAW
  •  Mengingatkan Jemaah supaya bertaqwa kepada Allah
  •  Membaca sekurang-kurang satu ayat dengan lengkap
  •  Mendoakan kesejahteraan kaum muslimin
Syarat-syarat sah Khutbah Jumaat
  • Telah masuk waktu Zohor
  • Didahulukan bacaan khutbah sebelum tunaikan solat jumaat
  • Membaca rukun dalam bahasa Arab
  • Dilakukan berturut-turut antara dua khutbah
  • Khatib hendaklah seorang lelaki
  • Khatib hendaklah berdiri jika mampu
  • Khatib hendaklah duduk sebentar antara dua khutbah
  • Khatib hendaklah menutup aurat
  • Khutbah hendaklah disampaikan dengan jelas sehingga didengar dan difahami oleh sekurang-kurangnya 40 orang Jemaah
  • Khatib hendaklah suci dari sebarang najis
  • Khatib hendaklah suci dari hadas besar dan kecil

Thursday, January 31, 2013

Alkisah seorang kurang bermotivasi

Alkisah seorang kurang bermotivasi….

Mohd Ahsan seorang yang kurang bermotivasi dalam melaksanakan kerja-kerjanya baik di mana-mana sahaja.

Ahsan ingin menyelesaikan masalah ini lalu berjumpa dengan Tok Guru Mat Ubas.

“Ustaz, ada banyak perkara yang saya ingin buat, tapi tak da motivasi untuk gerak,” adu Ahsan.

“Nak buat, buat terus,” jawab Mat Ubas.

“Tak faham. Saya tak ada motivasi nak buat, itulah masalahnya ustaz,” jawab Ahsan.

“Ok. Ahsan jawab ini. Antara ayam dengan telur, siapa datang ke dunia ini dulu?” tanya Mat Ubas.

“Telur,” jawab Ahsan.

“Dari mana telur datang?” jawab Mat Ubas. Melihat Ahsan tidak dapat bercakap apa-apa… Mat Ubas mula berceramah…

“Sebenarnya kita tidak tahu mana datangnya ayam yang melahirkan telur yang pertama? Dan kita mungkin tak akan tahu.

Tapi soalan seterusnya ialah motivasi. Apa datang dulu, motivasi atau tindakan?” tanya Mat Ubas.

“Motivasi dulu,” jawab Ahsan.

“Tak boleh ke kita buat dulu, baru timbul momentum dan motivasi untuk buat lagi,” Mat Ubas tanya kembali.

“Dan orang yang tunggu motivasi datang dulu, selalunya akan gagal untuk menyelesaikan apa-apa. Sementara orang yang mengambil tindakan dulu sebelum menjana motivasi boleh melakukan lebih banyak perkara,” terang Mat Ubas.

Ahsan semakin terpegun dengan kata-lata Mat Ubas dan tidak berkata apa-apa.

“Kita tak nyanyi sebab kita gembira, tapi kita gembira kerana kita bernyanyi,” tambah Mat Abus.

Selepas mendengar penjelasan daripada Mat Abus, perangai Ahsan berubah dengan mengambil tindakan dulu terhadap semua perkara walaupun tiada motivasi

Pengajaran cerita ini ialah:

Kita harus bertindak sekarang apabila terasa itu betul dan bahawa ia adalah benar, dan percayalah motivasi akan datang selepas tindakan diambil.

- Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official) -

Tuesday, January 22, 2013

Kerajinan vs Kewajiban


Definisi Kerajinan
Menurut kamus dewan, kerajinan ialah 
  1. suka bekerja (belajar dll), giat, bersungguh-sungguh, tekun: dia ~ belajar; dia ~ bekerja utk menambah pendapatan keluarga; 
  2. kerap kali, selalu (berbuat se­suatu, melakukan sesuatu)
Definisi Kewajiban
Menurut kamus dewan, kewajiban ialah 
  1. sesuatu yg diwajib­kan, kemestian, keharusan: ia setia kpd suaminya, dan suaminya itu pun tidak melupakan ~nya;  
  2. tugas (tanggungjawab) yg harus dilakukan atas perintah: kami datang ini kerana ~, bukan untuk mengugut; 
  3. tugas (perintah dll) yg mesti dilakukan: Mereka berjanji akan menjalankan ~ mereka dgn sebaik-baiknya.



Kaitan kerajinan dan kewajiban
Kita ambil contoh: “Rajin budak tu solat”. Sebenarnya dalam melakukan ibadah solat tidak dikira kerajinan tetapi dikira kewajiban. Lainlah jika “Rajin budak tu solat sunat”. Perkara yang melibatkan sunat inilah yang dikira rajin kerana melakukan lebih dari apa yang diwajibkan. 
Manusia seringkali menganggap perlu ada kerajinan dalam berbuat amal terutama sekali melibatkan ibadah wajib. Sebenarnya ibadah wajib seperti solat dan puasa tidak perlukan kerajinan tetapi perlu dilaksanakan samada kita rajin atau tidak. Sebagai bonus tambahan kepada ibadah wajib, Allah memerintahkan supaya melakukan ibadah sunat dan melakukan ibadah sunat inilah dikira rajin dalam amal ibadah. WAllahu a’lam.