Sunday, December 30, 2012

Tongkat dan bayang-bayang

Tongkat dan bayang-bayang

Tentu anda semua tertanya-tanya, ada apa dengan tongkat? Apa khasiat tongkat ini? Di sini saya ingin kaitkan dengan satu pepatah atau kata-kata hikmah.

"Bayang-bayang itu mengikut tongkatnya. Jika tongkatnya lurus maka luruslah bayang-bayangnya. dan sebaliknya, jika tongkat itu bengkok maka bayang-bayangnya akan ikut bengkok". 

Jika kita lihat, bayang-bayang akan mengikut bentuk sesuatu objek. Jika objek itu lurus maka luruslah bayang-bayangnya dan jika objek tu bengkok maka bayang-bayangnya akan turut ikut bengkok. Begitu jugalah dengan diri kita sendiri akan ikut dan terbawa-bawa dengan persekitaran jika tiada asas yang kukuh.


Ibu bapa sebagai pencorak perlu memainkan peranan sebagai contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Anak-anak diibaratkan kain putih, ianya bergantung kepada orang yang mencorak dan melukisnya. Jika cantik corak dan lukisan maka harga lukisannya akan jadi mahal. Pelajaran pertama anak-anak bermula dari rumah, baiti jannati iaitu rumahku syurgaku. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan didikan yang terbaik. Anak-anak akan menjadikan ibu bapa role model pertama iaitu setiap perkataan, kelakuan dan perangai ibu bapa dipelajari, difahami dan seterusnya dijadikan panduan untuk membesar. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.  


Kita sebagai manusia amat memerlukan bantuan orang lain. Kita perlu menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan dan adat setempat. Seperti kata pepatah melayu " Masuk ke kandang kambing kita mengembek dan masuk ke kandang harimau kita mengaum. Sudah menjadi lumrah jika kita mudah terpengaruh oleh suasana dan keadaan di sekelilingnya. Begitu jugalah dengan anak-anak, anak-anak biasanya mengikuti apa yang dilakukan oleh rakan sebaya. Maka sebagai Ibu bapa, perlulah memantau dan memberi perhatian kepada siapa anak-anak bergaul dan berkawan. Allah memerintahkan orang-orang beriman untuk sentiasa bersama dan bergaul dengan orang-orang baik demi menjaga keimanan, sebagaimana firman-Nya:
“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.” ( Surah at-Taubah: 119)

Kepimpinan memainkan peranan penting dalam usaha mencorakkan masyarakat. Kita mengambil contoh Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin. Kita mendapati tiga faktor yang membentuk kepemimpinan seperti contoh daripada diri Nabi Muhammad SAW. Faktor pertama terdiri daripada akhlak diri baginda sebagai manusia bermoral. Faktor kedua ialah komitmen padu sebagai khalifah yang ditugaskan dengan tanggungjawab tertentu. Manakala faktor ketiga ialah rasa ubudiyyah kepada Pencipta yang dijelmakan dalam bentuk sifat zuhud, takwa dan tawaduk. Elemen ubudiyyah merupakan ciri penting dalam konsep kepemimpinan etika berteraskan sirah Nabi. Oleh yang demikian, ketiga-tiga faktor membentuk konsep kepemimpinan etika syumul yang merangkumi hablun min Allah dan hablun min al-nas.

Selebihnya kita berserah pada Allah seperti firman Allah dalam Surah al Baqarah: 138, 
"Acuan Allah. Siapa yang lebih baik acuannya selain daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah"

No comments: