Wednesday, November 21, 2012

Berbuat baik dan Jahat


Firman Allah

Maksudnya : "Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” ( Surah Az-Zalzalah ayat 7-8 )

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Sesungguhnya, aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling ( bergembira ) di dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang menganggu manusia.” ( Riwayat Muslim )

Gambar hiasan


kita selalu menganggap sesuatu yang ‘kecil’ sebagai sesuatu yang remeh dan tidak mendatangkan apa-apa kesan jika melakukannya, baik ia berupa kebaikan atau keburukan. Mungkin ramai yang lupa bahawa tidak ada satu pun yang besar, kecuali dimulakan dengan sesuatu yang kecil.

Titik ialah tanda yang paling kecil dapat dilihat oleh manusia. Walaupun ianya kecil tetapi ianya mempengaruhi kehidupan manusia. Sebagai contoh, dalam bahasa Arab, titik boleh mempengaruhi makna dan kata. Huruf ha, yang tiada sebarang titik diletakkan titik ditengah-tengah akan menjadi jim. Jika diletakkan di atas maka akan berubah menjadi huruf kho. Huruf nun jika ditambah satu titik akan menjadi huruf ta dan jika ditambah lagi satu titik akan menjadi huruf tsa. Begitu juga dengan kira-kira, jika tiada titik perpuluhan kita tidak dapat mengira sesuatu yang kecil dari nombor kosong. Bayangkan jika harga minuman tidak diletakkan titik perpuluhan maka harga semua minuman akan jadi sama sahaja dan tiada bezanya dibandingkan dengan minuman lain.

Teringat pada cerita P Ramlee yang berjudul Pendekar Bujang Lapok. Masa itu mereka belajar di sekolah buta huruf, beginilah dialognya.

ROS: huruf apakah ini? baiklah cikgu nak tanya En. Ramlee. En. Ramlee ni huruf dia atas tanah, ada ekor, mata (titik) dia di tengah
RAMLEE: ada ekor atas tanah, huh huruf mambang tanah.
ROS: En. Ramlee, ini bukan mambang tanah, ini huruf ‘jim’. baiklah En. Ajis pula. ini huruf dia sama dengan huruf Jim, tapi dia tak ada mata (titik) saja.
AZIZ: sama dengan huruf jim tapi dia tak da mata, oh jim mata buta la cikgu…
ROS: En. Ajis ni bukan jim mata buta, yg ni huruf ‘ha’. baiklah sekarang En. Sudin pula. dia sama dengan ‘jim’, jim mata dia di tengah-tengah tapi yg ni mata dia di atas.
SUDIN: oh! jim mata dia di tengah2 yg ni mata dia di atas. ’jim’ pakai toncet…

Begitulah besarnya peranan titik dalam kehidupan manusia. Oleh itu, ada ketikanya amal kebaikan yang kecil dan dipandang remeh tetapi memberi kehormatan dan keselamatan yang besar bagi kebaikan manusia. Ada ketikanya amal yang besar yang dibangga-bangga dan menjadi sebutan tidak memberi manfaat tetapi mengundang fitnah. oleh itu, jangan sesekali mengabaikan kebaikan yang kecil, dan jangan pula memandang kecil keburukan yang remeh.

Suatu hari Nabi s.a.w dikelilingi oleh para sahabatnya. Nabi menceritakan satu kisah yang menarik kepada mereka tentang amalan baik. Kisahnya, ada seorang pemuda melalui gurun yang sangat panas dalam keadaan dahaga yang teramat sangat. Di tengah perjalanan dia menemui sebuah telaga. Lantas dia turun masuk ke dalam dan minum sepuas-puasnya untuk menghilangkan dahaganya. Ketika dia keluar dari telaga itu, dia melihat seekor anjing yang telah kehausan dan dari riaknya memohon belas. Anjing itu menggesel-geselkan hidungnya ke tanah.


Gambar hiasan

Lelaki itu melihat anjing malang tersebut yang menderita kehausan. Dia pun merasa kasihan dan terharu melihat anjing itu. Dia merasakan pasti anjing itu dicengkam kehausan seperti yang dia rasakan sebelum ini. Kemudian dia memutuskan untuk memberi anjing air dan terus dia turun semula ke dalam telaga dan memenuhi sepatunya dengan air. Dia naik semula ke atas dengan membawa air yang ada dalam sepatunya dengan menggigit sepatunya kerana kedua-dua tangan dan kakinya digunakan untuk memanjat dinding telaga itu. Dia meletakkan sepatunya yang berisi air di depan anjing yang hampir mati kerana kehausan. Anjing itu minum hingga puas. Ganjarannya, Allah mengampun semua dosanya sebagai balasan kebaikan yang dilakukan.

Para sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w, " Apakah kita boleh memperolehi pahala dengan berbuat baik kepada binatang?" Nabi s.a.w menjawab, " Ya, kamu semua akan diberi pahala kerana berbuat baik terhadap semua makhluk yang hidup".

Kesimpulannya, Allah akan membalas semua kebaikan walau sekecil mana pun kebaikan yang dilakukan dengan memberikan ganjaran pahala / rezeki. Allah juga akan membalas semua kejahatan walau sekecil mana pun kejahatan yang dilakukan dengan memberikan dosa / bala selagi mana hambanya tidak bertaubat.

No comments: