Tuesday, November 20, 2012

Meng Zi / Mencius

Hari ni saya nak kongsi sikit kisah menarik tentang ilmuwan China. Bagi saya kisah ini boleh dijadikan sebagai motivasi untuk pelajar-pelajar dan anak-anak tentang betapa pentingnya ilmu pengetahuan.



Meng Zi/Mencius

Meng Zi atau Mencius ialah salah seorang lagenda falsafah di China. Dia dianggap sebagai orang paling pintar dan cerdik dari negeri China. Bahkan ada yang mengenalinya dengan nama Kong Zhi atau Kong Hu Cu. Sebahagian orang China memanggil secara bersama dengan sebutan Kong-Meng.
 

Yang menariknya setiap kali Meng Zi ditanya. " Siapakah orang yang berpengaruh yang membuat kamu pintar dan sebijak ini?" Maka dengan tegas dan tanpa keraguan sedikit pun Meng Zi akan menjawab, "

Ibuku, Ibuku, Ibukulah yang membuat aku pintar".

Ketika Meng Zi masih kanak-kanak, dia termasuk jenis budak yang sering kebosanan apabila berada di kelas, sering ponteng dan melarikan diri dari sekolah. Suatu hari dia merasa tidak suka mengikuti pelajaran di kelasnya. Ditambah lagi dia merasa lapar. Dia kemudiannya mencari jalan bagaimana cara untuk meninggalkan kelasnya.

Dia menemui kesempatan yang tepat, dia pun lari dari sekolah dan pulang ke rumahnya. Dia gembira kerana berjaya ponteng dan tidak mengikuti pelajaran di kelasnya. Sampai sahaja di rumah dia terus mencari makanan dan duduk di atas longgokan kain sutera.

Meng Zi mempunyai seorang ibu yang pekerjaannya menenun dan menjahit kain sutera. Dari kain sutera itulah ibunya yang sudah kematian suami menanggung keluarga. Si ibu terkejut mendapati Meng Zi telah pulang lebih awal dari waktu sebenar. Dia tahu yang Meng Zi ponteng dari sekolah.

Ibunya sangat marah, " Ini belum waktu balik sekolah, kenapa kamu balik? Ibu tidak suka kamu ponteng sekolah Meng Zi".

Meng Zi menjawab, "Sekolah itu membosankan dan susahlah ibu. Saya tidak boleh mengikuti pelajaran dan saya bukanlah budak pandai yang boleh mengikuti pelajaran dengan cepat".

Ibunya mendengar alasan Meng Zi perkataan demi perkataan dengan teliti. Namun dia tetap menunjukkan raut muka marah dan tidak setuju dengan olah Meng Zi yang ponteng sekolah. Melihat ibunya yang masih marah, Meng Zi tidak berani membuka mulut lagi. Dia diam, menundukkan kepala dan merasa bersalah.
Ibunya pun diam dan tidak membalas jawapan anaknya. Dia lalu beranjak mengambil kain sutera yang Meng Zi duduk. Lalu ibunya memotong kain sutera itu menjadi dua bahagian dengan muka yang masih marah. Selepas itu memotong menjadi empat bahagian. Seterusnya lapan bahagian, enam belas dan terus memotong sehingga kain itu tidak boleh dipotong lagi.

Ibunya kemudian mengambil kain yang lain dan memotong-motongnya sama seperti sebelumnya, tetap dengan diam dan muka yang marah. Setiap kali menyaksikan ibunya memotong-motong kain sutera itu hati Meng Zi bagai terhiris.

Meng Zi tahu ibunya telah kematian suami. Dengan menenun dan menjahit kain sutera itulah ibunya mampu menanggung keluaganya. Meng Zi tiba-tiba diselubungi rasa takut luar biasa, dia takut melihat ibunya yang sangat marah sehingga kain yang menjadi sumber kehidupan keluarganya dirosakkan.

Dengan menangis, Meng Zi memeluk kaki ibunya dan berkata, "Ibu, jangan marah lagi. Saya sedar, saya telah melakukan satu kesalahan dan sangat mengecewakan ibu. Mohon ibu tidak merosakkan kain yang sangat berguna bagi keluarga kita. Saya janji tidak akan ponteng lagi walaupun sekolah itu membosankan".

Ibunya yang mendengar kata-kata anaknya itu kalimah demi kalimah sambil merenung wajah anaknya dengan wajah yang serius. Ibunya kemudian berkata kepada Meng Zi sambil menatap mata anaknya dalam-dalam.

"Meng Zi, kamu lihat potongan-potongan kain sutera ini. Benang sutera itu ditenun sedikit demi sedikit barulah menjadi sepotong kain sutera. Sudah dapat sepotong terus ditenun sedikit demi sedikit sampai boleh menjadi kain sutera yang elok dan lebat. Setelah itu kain sutera dipotong lagi sesuai dengan ukuran dan dijahit maka jadilah pakaian yang cantik. Belajar pun seperti itu Meng Zi, hasilnya tidak boleh segera dilihat sekelip mata. Belajar itu sedikit demi sedikit dan berterusan. Walaupun susah, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak belajar. Setelah faham sedikit, belajar lagi supaya faham lebih banyak lagi. Kemudian belajar lagi. Setelah bertambah kefahaman, belajar lagi dan seterusnya. Apabila sampai waktunya nanti kamu akan merasakan bahawa belajar ini menarik, menyenangkan, mengasyikkan dan indah serta sangat berguna. 
Kalau sekarang kamu ponteng, kamu tidak akan faham apa yang diajarkan kepadamu. Kalau sedikit pun kamu tidak faham, lalu dari mana kamu akan tahu bahawa belajar itu menyenangkan dan berguna?"

Kata-kata ibunya menerjah dalam sanubari Meng Zi. Setelah ibunya selesai berbicara dengan berlinang air mata Meng Zi berjanji, " Ibu, sungguh saya memang teramat salah dan sekarang saya amat menyesal. Mulai dari sekarang saya berjanji saya tidak akan ponteng sekolah lagi. Mulai sekarang saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan melawan rasa bosan. Saya percaya pada ibu bahawa belajar bersungguh-sungguh suatu hari nanti saya akan menjadi pandai dan berguna kepada bangsa dan negara."

Sejak itu Meng Zi berubah. Meng Zi menjadi anak yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Dia membesar menjadi manusia yang luar biasa mencintai ilmu pengetahuan. Meng Zi menjadi orang berguna kepada masyarakat dan bangsanya. Namanya masyhur di seluruh pelusuk China. Karyanya yang telah berusia lebih dari dua ribu tahun masih dipelajari sehingga hari ini.

Meng Zi menguatkan catatan sejarah, bahawa di belakang orang yang terkenal dan berjaya kebiasaannya ada seorang ibu yang luar biasa mendidik dengan penuh kecintaan dan sepenuh jiwa. Setiap kali Meng Zi ditanya, "Siapakah yang mendorong anda sehingga menjadi sepintar dan sebijak ini?" Maka dengan tegas dan tanpa keraguan Meng Zi akan menjawab, "Ibuku, Ibuku, Ibukulah yang membuat aku pintar."

No comments: